Carian Blog

Sunday, June 27, 2010

King Of Football

Jika ditanya siapakah yang mendapat gelaran King Of Football, mesti ramai akan mengatakan Pele, Maradonna, Ronaldo, Ronaldinho, Messi, Rooney, dan seangkatannya. Tetapi saudara dan saudari, sebenarnya, pemain pertama di anggap King Of Football bukanlah mereka yang saya sebutkan tadi. Arthur Friedenreich di lahirkan pada 18 July 1892 di Sao Paulo merupakan pemain Brazil berkulit hitam pertama yang memecahkan penguasaan pentas bolasepak Brazil yang pada waktu itu di kuasai oleh pemain-pemain Brazil yang berkulit putih. Di gelar “The Tiger”, Arthur telah di anggap pemain bolasepak Brazil berkulit hitam pertama yang mendapat gelaran “superstar”.
Biografi : Arthur Friedenreich merupakan anak kepada seorang usahawan daripada Jerman yang berhijrah ke Brazil dan ibunya adalah seorang pencuci yang berketurunan Afrika berhijrah ke Brazil setelah dibebaskan. Patut nama pun macam nama Jerman. Friedenreich juga adalah pemain profesional berkulit hitam pertama di Brazil kerana pada waktu itu isu warna kulit telah menguasai seluruh benua Amerika malah bolasepak juga adalah untuk warga kulit putih sahaja. Banyak halangan terpaksa di lalui akibat daripada isu warna kulit dan perkauman.
Mengikut jejak langkah ayahnya sebagai pemain sebuah kelab Brazil, SC Germania, yang disertai oleh penghijrah-penghijrah daripada Jerman, Arthur memulakan karier bolasepaknya bersama kelab Sao Paolo dalam era 1910-an. Pada 1914, Arthur beraksi buat kali pertama untuk skuad kebangsaan Brazil pada kejohanan Copa America pada tahun 1919 dan juga edisi 1922 serta telah menjaringkan 10 gol. Ketika siri Jelajah Eropah pasukan Brazil pada 1925, Arthur telah dikenali sebagai King of Football. Arthur juga telah berjaya meraih rekod jaringan terbanyak tetapi FIFA tidak dapat mengesahkan fakta ini kerana masalah pengesahan rekod. Disebabkan perselisihan di antara Persatuan Bolasepak Rio de Janeiro dan Sao Paulo, Arthur terlepas aksi Piala Dunia edisi 1930 di Uruguay. Hanya pemain yang bermain untuk Persatuan Bolasepak Rio de Jeneiro sahaja yang dapat mewakili Brazil pada ketika itu.
Kehebatan Arthur dalam liga domestik tidak dapat dinafikan lagi, menjadi penjaring terbanyak liga sebanyak 9 kali. Pencapaian terbaik domestiknya adalah ketika mewakili kelab Athletico Paulistano dalam Liga Paulista dengan 33 jaringan. Friedenreich bersara daripada arena bolasepak ketika mewakili Flamengo pada 1935 semasa berumur 43 tahun. Meninggal dunia pada 6 September 1969, Arthur Friedenreich telah bermain lebih daripada 1200 perlawanan antarabangsa dan domestik serta di katakan telah menjaringkan lebih daripada 1200 gol. Namun terdapat laporan bahawa jumlah sebenarnya adalah 1329 gol dalam 1239 perlawanan tetapi disangkal oleh peminat-peminat Pele mengatakan bahawa jumlah sebenarnya adalah 1239 gol dalam 1329 perlawanan. Tiada rekod sahih untuk jumlah sebenar berapa gol yang Arthur jaringkan. Oleh itu, berapakah pemain yang kita ketahui telah menjaringkan lebih daripada 1000 gol sepanjang karier mereka? Sebab itulah Arthur Friedenreich merupakan pemain bolasepak pertama digelar KING OF FOOTBALL.

RUJUKAN: wikipedia.eng

Saturday, June 26, 2010

Adidas VS Puma

ADIDAS VS PUMA
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ini saya ingin berkongsi dengan pembaca semua tentang satu info yang bagi saya amat menarik untuk dikongsikan bersama. Adidas, adalah jenama yang tidak asing lagi dengan kita. Dari topi sampailah ke kasut, bleh la di katakan Adidas tergolong antara 3 pilihan utama pembeli. Begitu juga dengan satu lagi jenama, Puma. Tetapi pernah ke kita terdengar atau tahu akan asal usul produk barangan sukan ini? Malah jika dilihatkan dari fakta sejarah, Adidas dan Puma juga adalah adik beradik.
Adolf "Adi" Dassler dilahirkan pada 3 November 1900 di bahagian Herzogenaurach, Bavaria, Jerman adalah individu yang bertanggungjawab mencipta jenama Adidas. Dilatih sebagai seorang penjahit kasut, Adolf Dassler memulakan usaha untuk mengeluarkan kasut sukan buatan sendiri selepas tamatnya Perang Dunia Pertama. Pada waktu itu percaya atau tidak dapur ibunya adalah tempat untuk dia membuat kasut. Mewarisi bakat daripada bapanya, Christoph, seorang pembuat kasut di sebuah kilang kasut serta di bantu oleh adik beradik Zehlin, pencipta kasut spike buatan tangan, Dassler telah memulakan penubuhan perniagaannya sendiri.
Pada 1924, abang Adolf, Rudolf telah menyertai perniagaannya yang kemudian dikenali sebagai Kilang Kasut Adik Beradik Dassler (Dassler Brothers Shoe Factory). Di Sukan Olimpik 1928, Dassler telah menjadi pembekal kepada beberapa atlit dalam usaha untuk membesarkan perniagaannya di peringkat antarabangsa. Pada Sukan Olimpik 1936 di Berlin, Dessler telah membekalkan kasut untuk atlit trek Amerika Syarikat, Jesse Owen yang seterusnya telah memenangi 4 pingat emas.
Dengan kebangkitan Hitler pada era tahun 1930-an, kedua-dua adik beradik Dessler telah menyertai Parti Nazi. Fahaman Politik dan Perang Dunia Kedua, telah menyebabkan perbezaan pendapat kepada kedua-dua beradik ini. Rudolf telah di tangkap akibat fahaman Nazi serta penglibatannya di dalam kumpulan SS dalam Parti Nazi. Dipercayai Adolf adalah dalang utama penangkapan itu. Menjelang tahun 1948, persengketaan antara 2 beradik ini telah sampai ke kemuncaknya apabila Rudolf telah meninggalkan perniagaan kasut bersama Adolf dan menubuhkan perniagaan kasut baru di bawah jenama Puma manakala Adolf telah menamakan perniagaan kasutnya di bawah jenama Adidas sempena namanya sendiri (Adi-Dassler). Bagaimana si abang menemui jenama Puma tidak diketahui tetapi di percayai Puma pada asalnya dikenali sebagai Puda hasil gabungan antara RU-dolf DA-ssler. Unik kan? Rupa2 nya Adidas dan Puma sebenarnya adik beradik. Sebenarnya Puma pun famous gak, kalau nak dibandingkan dengan Adidas yang diketahui umum. Puma pernah menaja Pelé, Eusébio, Johan Cruijff, Enzo Francescoli, Diego Maradona, Lothar Matthäus, Kenny Dalglish, Didier Deschamps dan Gianluigi Buffon. Paling famous Puma juga adalah pembekal kasut kepada Usain Bolt ketika memecahkan rekod dunia dalam acara 100m, 200m dan 4x100m di Sukan Olimpik 2008.
Dikatakan pada temasya Piala Dunia 1954, di Switzerland Jerman pada ketika itu dikenali Jerman Barat telah memenangi perlawanan akhir dengan Hungary 3-2 hasil daripada kasut spike (stut besi) buatan Adolf Dassler yang ketika itu kali pertama diperkenalkan kepada dunia bolasepak.
Di Malaysia mungkin Adidas lebih menonjol berbanding Puma tapi hakikatnya dari segi populariti secara globalnya bolehlah dikatakan "photo-finishing".
Pada 1973, anak Adolf, Horst Dassler merupakan pengasas Arena, jenama sukan dan alatan renang. Adolf "Adi" Dassler meninggal dunia pada 1978 dan perniagaannya diteruskan oleh isterinya, Käthe sehingga di jadikan Syarikat Sdn Bhd (hehehehe) pada 1989. Itulah sebahagian fakta yang dapat dikongsikan bersama. Mungkin saudara dan saudari mempunyai fakta yang lain dapatlah kita kongsikan bersama. Assalamualaikum.

rujukan wikipedia.eng

Thursday, June 24, 2010

Lagenda; bakal berganti atau sekadar diingati?

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera. Kepada pembaca-pembaca blog sekalian, ingin saya kongsikan beberapa info yang telah saya perolehi tentang seorang Lagenda bolasepak negara, Allahyarham Dato' Mokhtar Dahari atau lebih dikenali sebagai "SuperMokh". Mungkin ada sebahagiannya telah diketahui umum dan ada juga yang baru saya ketahui dan ingin di kongsikan bersama.

Dilahirkan di Setapak Kuala Lumpur, Mokhtar Dahari mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan (1960-1965) dan Victoria Institution (1966-1970). Anak kepada Dahari Abeng dan Maimon Sadikin ini mula mewakili Selangor pada tahun 1971 pada Piala Burnley dan dalam usia sementah 19 tahun,Mokhtar berjaya menjaringkan gol pertama Selangor ketika itu. Beliau juga pernah menyertai beberapa kelab bola sepak antaranya Kelab Sultan Sulaiman, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Talasco, Kwong Yik Bank. Beliau berkahwin dengan Tengku Zarina Tengku Ibrahim dan dikurniakan 3 orang anak iaitu Mohamad Redza, Nur Azera dan Nur Arina. Berikut adalah beberapa fakta penglibatan beliau dalam arena bolasepak.

MULA WAKILI SELANGOR : Piala Burnley 1971
PIALA MALAYSIA : Wakili Skuad Senior Selangor 1972
MULA WAKILI NEGARA : Pestabola Merdeka 1972
KALI TERAKHIR WAKILI NEGARA: Pra-Piala Dunia menentang Korea Selatan di Seoul 1985
KAPS : 167
GOL PIALA MALAYSIA : 177
GOL ANTARABANGSA : 125
JARINGAN TERBAIK : Gol penyamaan menentang England B pada 1978
PENCAPAIAN : Membantu Selangor memenangi Piala Malaysia 10 kali. Menang pingat gangsa Sukan Asia 1974 di Teheran,Iran.
ANUGERAH : Olahragawan Kebangsaan 1976

Allahyarham Mokhtar Dahari masih dikenang sehingga ke hari ini walaupun
hayatnya sudah bersemadi hampir 19 tahun lalu. Biarpun ramai generasi muda masa kini tidak begitu mengenali bintang negara itu, tapi hampir semua pasti pernah mendengar namanya - pemain dengan bakat semulajadi yang mengangkat imej Malaysia setaraf dengan jaguh bola sepak dunia. Paling ketara adalah di kancah Pestabola Merdeka yang menjadi gelanggang dia mempamer taring dan kehebatannya menembusi gawang lawan.
Pada usia 23 tahun, beliau telah diiktiraf Majalah World Star Soccer sebagai penyerang terbaik Asia dan ketika itu jugalah beliau dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1976. Kelebihan dimiliki ‘Supermokh’ dapat dilihat dengan sepakan deras bak peluru yang menjadi elemen penting dan khabarnya tiga jari mendiang R Arumungam, bekas penjaga gol negara pernah patah ketika cuba menampannya. Itu belum dikira bijaknya penyerang ternama negara itu membaca gerakan lawan dan meloloskan diri.
Dengan 167 kaps antarabangsa, dia berjaya meletakkan Malaysia di kedudukan
tertinggi pentas bola sepak Asia seterusnya mampu membuka mata dunia hingga kuasa bola sepak dunia.
Skuad England B bimbingan Bobby Robson turut merasa bahangnya selepas diikat skuad negara 1-1 hasil jaringan menakjubkan Mokhtar. Walaupun kelibat pemain istimewa seperti Mokhtar yang tiada galang gantinya sehingga kini sudah lama meninggalkan kita, bayangan kehebatannya tidak pernah padam apatah lagi apabila mengingati susah payah beliau mencipta nama walaupun beliau memang sudah memiliki kurniaan yang tiada pada orang lain. Mokhtar sangat gigih ketika latihan, sejak di bangku sekolah lagi beliau tidak pernah jemu berlatih sehingga namanya sudah sebati dengan bolasepak. Dalam skuad kebangsaan pun beliau masih sama apabila terus mengawal bola sambil menggelecek tiang-tiang kecil sebelum melepaskan tendangan kencang ke gawang yang kosong untuk menajamkan kuasa pemusnah yang ada pada dirinya. Malah beliau tidak suka diganggu ketika latihan apatah lagi mengaitkan kemasyhuran dirinya di padang dengan kehidupan peribadi hingga menjadikan beliau idola paling diminati.
Memetik kata Mokhtar “Kasut but yang diberi ayah saya mungkin hanya berharga 15 ringgit, tapi ia amat bermakna dalam kerjaya bolasepak saya,”.Dengan kasut itulah beliau menempa nama sebaris dengan wira-wira bola sepak negara seperti datuk Ghani Minhat dan Arthur Koh. Oleh itu timbul persoalan, perlukah "mereka" membeli kasut but yang semahal RM500-RM 1,000 untuk bermain bolasepak dengan baik ataupun membawa nama Malaysia di pentas yang lebih tinggi daripada sekarang?
Buat pertama kalinya Mokhtar mengetuai barisan Selangor seterusnya mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia selepas menang 2-0 ke atas Singapura. Buat pertama kali dalam sejarah, sepanduk “Super Mokhtar” gelaran keramat buat Mokhtar terpampang di Stadium Merdeka. Namun, sukar dipercayai kerana dalam tahun yang sama, beliau mengumumkan persaraannya daripada arena bola sepak antarabangsa. Pengumuman itu memberi tamparan hebat kepada para peminat terutama ketika bola sepak negara masih memerlukan khidmatnya. Tapi bak kata pepatah,berpantang menyerah sebelum kalah, beliau menarik balik keputusan drastiknya pada tahun berikutnya. Aksi Mokhtar dalam Pestabola Merdeka ketika itu melayakkan Malaysia muncul naib johan selepas tewas kepada Maghribi dalam perlawanan akhir.
Perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia tahun 1981 menyaksikan Mokhtar menerima layangan kad merah buat kali pertama dan terakhir. Seterusnya kegagalan Malaysia di pertandingan pra Piala Dunia mendorong Mokhtar mengumumkan persaraannya buat kali kedua. Sukar memadam semangat juara di dalam jiwa membuatkan Mokhtar nekad mengetuai Selangor menentang Boca Juniors yang diketuai Diego Maradona pada tahun 1982. Bagaimanapun, Selangor tewas 2-1 dalam perlawanan persahabatan tersebut. Menjelang tahun 1985, Mokhtar sekali lagi menyarung jersi negara ke pra piala dunia di Seoul.Namun, Malaysia tewas 2-0 pada Korea Selatan. Selepas itu, beliau mengumumkan persaraannya di peringkat antarabangsa untuk kali terakhir.
Di sebalik pendirian itu, Mokhtar masih menabur baktinya dalam pertandingan domestik. Mokhtar masih kekal cemerlang apabila membantu Selangor menumpaskan Johor 6-1 sekaligus merangkul piala Piala Malaysia. Sebagai bonus, Mokhtar telah diumum sebagai pemain terbaik Perlawanan Akhir ketika itu. Setelah banyak gelaran diraih, selepas ratusan gol dijaringkan, Mokhtar mengambil satu-satunya keputusan yang sukar diterima. Beliau berundur dari kancah bola sepak peringkat negeri pula. Jersi nombor 10 miliknya yang banyak menyimpan sejarah dihadiahkan kepada Raja Muda Selangor.
Tiada apa yang dapat mengubah jatidiri pencinta bola sepak ini. Mokhtar menarik kembali persaraannya dan mewakili Selangor untuk semusim lagi. Dunia bola sepak negara yang asalnya gerhana cerah kembali. Pada tahun 1988, Mokhtar menyertai Kwong Yik Bank dan membawa kelab itu menjadi juara Liga Dunhill Selangor. Dalam tahun yang sama, Mokhtar mengambil keputusan nekad, bersara daripada arena negeri.
Selepas itu, Mokhtar disahkan menghidap penyakit Mascular Dystrophy pada tahun 1989. Rawatan lanjut diteruskan di London tetapi tidak lama kemudian Mokhtar pulang. Peminatnya yang ingin melihat Mokhtar kembali sembuh hampa kerana penyakitnya kian parah.
Pada hari Khamis, 11 Julai 1991, pada ketika usia saya baru ingin mengenali bolasepak. Mokhtar Dahari meninggal dunia pada jam 8.25 pagi di Pusat Perubatan Subang Jaya. Perginya lagenda bola sepak ini tidak pernah ada galang ganti. Walau sudah hampir 2 dekad berlalu, nama Mokhtar Dahari masih meniti di bibir peminat setia bola sepak negara. Jasa dan bakti beliau mencurah keringat tanpa mengharapkan kemewahan seperti bintang-bintang bolasepak zaman sekarang telah menaikkan nama negara. Sukar dibayar dengan kata-kata tetapi cukuplah sepotong doa buat Mokhtar Dahari (1953-1991). Al-fatihah. Bagaikan kata pepatah, Harimau mati meninggalkan belang... dan berikut adalah "belang" yang di tinggalakan Allahyarham sepanjang penglibatannya dalam dunia bolasepak.


ANUGERAH
1976 : Olahragawan Kebangsaan

1977 : Ahli Mangku Negara (A.M.N)

2000 : Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P), Pahang yang membawa gelaran Dato'

2001 : Darjah Dato' Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A), Selangor yang membawa gelaran Dato'

RENTETAN SEJARAH BOLA SEPAK MOKHTAR

1970: Mewakili Selangor ke pertandingan bawah 18 tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Turut bermain adalah Santokh Singh dan Reduan Abdullah

1971: Pada bulan Disember, bermain untuk Selangor dalam pertandingan Piala Burnley di Kuching. Menjaringkan gol dalam perlawanan sulung menentang Kedah.

1972: Februari : Beraksi pertama kali untuk pasukan senior Selangor dalam perlawanan persahabatan menentang kelab Hitachi dari Jepun pada bulan Februari

1972: April : Menyertai perlawanan akhir Piala Malaysia pertama dalam kariernya menentang Perak di posisi sayap kiri . Menjaringkan gol pada minit ke 29 hasil umpanan Rahim Abdullah untuk membantu Selangor menang 3-0. Mewakili Malaysia buat pertama kali dalam Piala Jakartaraya (Piala Kemerdekaan Jakarta) pada bulan Jun.

1973: Bermain bersama skuad Malaysia di pra Piala Dunia di Seoul. Bermain dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka menentang Kuwait. Menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-1. Membantu Selangor mengekalkan Piala Malaysia dengan menewaskan Terengganu 2-1 dalam perlawanan akhir.

1974: Mencipta rekod peribadi untuk gol terbanyak dalam satu perlawanan antarabangsa apabila menjaringkan lima gol ketika menentang Filipina di Sukan Asia di Teheran, Iran sekaligus membantu negara memenangi pingat gangsa.

1975: Membantu Selangor menjulang Piala Malaysia menewaskan Singapura 1-0. Menjaringkan dua gol ketika skuad negara menewaskan Arsenal 2-0 dalam perlawanan persahabatan.

1976: Menjaringkan dua gol untuk membantu Selangor mengalahkan Singapura 3-0 dan sekali gus muncul sebagai juara Piala Malaysia bagi kali ke-19. Mendapat caps Malaysia ketika menentang Jepun di Pestabola Merdeka bulan Ogos. Mendapat kecederaan lutut ketika mewakili PKNS menentang Pemuda UMNO peringkat suku akhir Piala FAM sekaligus terpaksa menjalani pembedahan lutut di Hospital Universiti.

1977: Kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan lutut dan mewakili PKNS menentang Kilat dalam Liga Perdana Selangor. Membantu Selangor mara ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia. Menjaringkan 1 gol ketika menewaskan Thailand 2-0 pada perlawanan akhir untuk pingat emas Sukan Sea pertama beliau. Menerima Anugerah Olahragawan Kebangsaan 1976.

1978: Menjaringkan gol penyamaan ketika perlawanan persahabatan Malaysia menentang England 'B' yang berkesudahan seri 1-1 . Memenangi Piala FAM pertamanya bersama PKNS. Turut membantu Selangor bangkit dari ketinggalan 2-0 kepada Singapura untuk menang 4-2 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.

Namanya amat digeruni, skil dan aksi di padang amat ditakuti biarpun lawan masih di bilik persalinan, rembatannya bagaikan igauan setiap penjaga gol lawan malah pasukan sendiri, ketiadaannya dalam arena bolasepak kebangsaan bagaikan meniup lilin yang menerangi bilik yang gelap. Pemergiannya merupakan satu kehilangan yang amat sukar dicari ganti. Persoalannya kini, setelah hampir 20 tahun pemergian beliau, adakah ianya sekadar sesuatu yang hanya ingin kita sama-sama kenangkan dan kagumkan atau perlukah kita mula untuk memikirkan cara untuk menghidupkan kembali aura yang pernah ditinggalkan Allahyarham? Untuk kali ke berapa kita perlu menyokong negara lain di pentas Piala Dunia? Jangan katakan Piala Dunia, Piala Asia pun sama. Semoga fakta yang saya paparkan kali ini bukan sahaja untuk kita kenangkan bersama tetapi diharapkan agar cas-cas neuron di otak kita dapat memberi ilham untuk kita canangkan idea-idea untuk meningkatkan maruah bolasepak negara kita. Siapa tahu mungkin salah satu daripada idea kita bakal mendendangan lagu Negaraku di pentas Piala Dunia suatu hari nanti. Mustahil? Fikir sekali lagi.

rujukan : wikipedia

Wednesday, June 23, 2010

Salam Perkenalan

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia. Saya merupakan orang baru dalam dunia blog dan serba tidak arif dalam pelbagai aspek. Oleh itu saya memohon tunjuk ajar daripada semua ahli blog untuk membantu saya mendalami dunia blog ini. Serba sedikit tentang blog saya. Saya memberi penekanan kepada sukan tanpa sempadan,tanpa mengira sama ada dalam mahupun luar negara. Lebih memberi perhatian kepada pencapaian negara, fakta2 penting tentang sukan dan juga sukan yang jarang mahupun tidak mendapat tempat di negara kita. Tujuan utama saya mewujudkan blog ini adalah semata-mata untuk mempelbagaikan info sukan untuk tatapan warga blog selain daripada memartabatkan sukan sebagai bukan sahaja wadah untuk kesihatan tapi juga sebahagian daripada dunia kerjaya dan profesion. Semoga blog ini dapat memeriahkan lagi dunia blog kita. Assalamualaikum dan Salam Sejahtera