Carian Blog

Thursday, June 24, 2010

Lagenda; bakal berganti atau sekadar diingati?

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera. Kepada pembaca-pembaca blog sekalian, ingin saya kongsikan beberapa info yang telah saya perolehi tentang seorang Lagenda bolasepak negara, Allahyarham Dato' Mokhtar Dahari atau lebih dikenali sebagai "SuperMokh". Mungkin ada sebahagiannya telah diketahui umum dan ada juga yang baru saya ketahui dan ingin di kongsikan bersama.

Dilahirkan di Setapak Kuala Lumpur, Mokhtar Dahari mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan (1960-1965) dan Victoria Institution (1966-1970). Anak kepada Dahari Abeng dan Maimon Sadikin ini mula mewakili Selangor pada tahun 1971 pada Piala Burnley dan dalam usia sementah 19 tahun,Mokhtar berjaya menjaringkan gol pertama Selangor ketika itu. Beliau juga pernah menyertai beberapa kelab bola sepak antaranya Kelab Sultan Sulaiman, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Talasco, Kwong Yik Bank. Beliau berkahwin dengan Tengku Zarina Tengku Ibrahim dan dikurniakan 3 orang anak iaitu Mohamad Redza, Nur Azera dan Nur Arina. Berikut adalah beberapa fakta penglibatan beliau dalam arena bolasepak.

MULA WAKILI SELANGOR : Piala Burnley 1971
PIALA MALAYSIA : Wakili Skuad Senior Selangor 1972
MULA WAKILI NEGARA : Pestabola Merdeka 1972
KALI TERAKHIR WAKILI NEGARA: Pra-Piala Dunia menentang Korea Selatan di Seoul 1985
KAPS : 167
GOL PIALA MALAYSIA : 177
GOL ANTARABANGSA : 125
JARINGAN TERBAIK : Gol penyamaan menentang England B pada 1978
PENCAPAIAN : Membantu Selangor memenangi Piala Malaysia 10 kali. Menang pingat gangsa Sukan Asia 1974 di Teheran,Iran.
ANUGERAH : Olahragawan Kebangsaan 1976

Allahyarham Mokhtar Dahari masih dikenang sehingga ke hari ini walaupun
hayatnya sudah bersemadi hampir 19 tahun lalu. Biarpun ramai generasi muda masa kini tidak begitu mengenali bintang negara itu, tapi hampir semua pasti pernah mendengar namanya - pemain dengan bakat semulajadi yang mengangkat imej Malaysia setaraf dengan jaguh bola sepak dunia. Paling ketara adalah di kancah Pestabola Merdeka yang menjadi gelanggang dia mempamer taring dan kehebatannya menembusi gawang lawan.
Pada usia 23 tahun, beliau telah diiktiraf Majalah World Star Soccer sebagai penyerang terbaik Asia dan ketika itu jugalah beliau dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1976. Kelebihan dimiliki ‘Supermokh’ dapat dilihat dengan sepakan deras bak peluru yang menjadi elemen penting dan khabarnya tiga jari mendiang R Arumungam, bekas penjaga gol negara pernah patah ketika cuba menampannya. Itu belum dikira bijaknya penyerang ternama negara itu membaca gerakan lawan dan meloloskan diri.
Dengan 167 kaps antarabangsa, dia berjaya meletakkan Malaysia di kedudukan
tertinggi pentas bola sepak Asia seterusnya mampu membuka mata dunia hingga kuasa bola sepak dunia.
Skuad England B bimbingan Bobby Robson turut merasa bahangnya selepas diikat skuad negara 1-1 hasil jaringan menakjubkan Mokhtar. Walaupun kelibat pemain istimewa seperti Mokhtar yang tiada galang gantinya sehingga kini sudah lama meninggalkan kita, bayangan kehebatannya tidak pernah padam apatah lagi apabila mengingati susah payah beliau mencipta nama walaupun beliau memang sudah memiliki kurniaan yang tiada pada orang lain. Mokhtar sangat gigih ketika latihan, sejak di bangku sekolah lagi beliau tidak pernah jemu berlatih sehingga namanya sudah sebati dengan bolasepak. Dalam skuad kebangsaan pun beliau masih sama apabila terus mengawal bola sambil menggelecek tiang-tiang kecil sebelum melepaskan tendangan kencang ke gawang yang kosong untuk menajamkan kuasa pemusnah yang ada pada dirinya. Malah beliau tidak suka diganggu ketika latihan apatah lagi mengaitkan kemasyhuran dirinya di padang dengan kehidupan peribadi hingga menjadikan beliau idola paling diminati.
Memetik kata Mokhtar “Kasut but yang diberi ayah saya mungkin hanya berharga 15 ringgit, tapi ia amat bermakna dalam kerjaya bolasepak saya,”.Dengan kasut itulah beliau menempa nama sebaris dengan wira-wira bola sepak negara seperti datuk Ghani Minhat dan Arthur Koh. Oleh itu timbul persoalan, perlukah "mereka" membeli kasut but yang semahal RM500-RM 1,000 untuk bermain bolasepak dengan baik ataupun membawa nama Malaysia di pentas yang lebih tinggi daripada sekarang?
Buat pertama kalinya Mokhtar mengetuai barisan Selangor seterusnya mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia selepas menang 2-0 ke atas Singapura. Buat pertama kali dalam sejarah, sepanduk “Super Mokhtar” gelaran keramat buat Mokhtar terpampang di Stadium Merdeka. Namun, sukar dipercayai kerana dalam tahun yang sama, beliau mengumumkan persaraannya daripada arena bola sepak antarabangsa. Pengumuman itu memberi tamparan hebat kepada para peminat terutama ketika bola sepak negara masih memerlukan khidmatnya. Tapi bak kata pepatah,berpantang menyerah sebelum kalah, beliau menarik balik keputusan drastiknya pada tahun berikutnya. Aksi Mokhtar dalam Pestabola Merdeka ketika itu melayakkan Malaysia muncul naib johan selepas tewas kepada Maghribi dalam perlawanan akhir.
Perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia tahun 1981 menyaksikan Mokhtar menerima layangan kad merah buat kali pertama dan terakhir. Seterusnya kegagalan Malaysia di pertandingan pra Piala Dunia mendorong Mokhtar mengumumkan persaraannya buat kali kedua. Sukar memadam semangat juara di dalam jiwa membuatkan Mokhtar nekad mengetuai Selangor menentang Boca Juniors yang diketuai Diego Maradona pada tahun 1982. Bagaimanapun, Selangor tewas 2-1 dalam perlawanan persahabatan tersebut. Menjelang tahun 1985, Mokhtar sekali lagi menyarung jersi negara ke pra piala dunia di Seoul.Namun, Malaysia tewas 2-0 pada Korea Selatan. Selepas itu, beliau mengumumkan persaraannya di peringkat antarabangsa untuk kali terakhir.
Di sebalik pendirian itu, Mokhtar masih menabur baktinya dalam pertandingan domestik. Mokhtar masih kekal cemerlang apabila membantu Selangor menumpaskan Johor 6-1 sekaligus merangkul piala Piala Malaysia. Sebagai bonus, Mokhtar telah diumum sebagai pemain terbaik Perlawanan Akhir ketika itu. Setelah banyak gelaran diraih, selepas ratusan gol dijaringkan, Mokhtar mengambil satu-satunya keputusan yang sukar diterima. Beliau berundur dari kancah bola sepak peringkat negeri pula. Jersi nombor 10 miliknya yang banyak menyimpan sejarah dihadiahkan kepada Raja Muda Selangor.
Tiada apa yang dapat mengubah jatidiri pencinta bola sepak ini. Mokhtar menarik kembali persaraannya dan mewakili Selangor untuk semusim lagi. Dunia bola sepak negara yang asalnya gerhana cerah kembali. Pada tahun 1988, Mokhtar menyertai Kwong Yik Bank dan membawa kelab itu menjadi juara Liga Dunhill Selangor. Dalam tahun yang sama, Mokhtar mengambil keputusan nekad, bersara daripada arena negeri.
Selepas itu, Mokhtar disahkan menghidap penyakit Mascular Dystrophy pada tahun 1989. Rawatan lanjut diteruskan di London tetapi tidak lama kemudian Mokhtar pulang. Peminatnya yang ingin melihat Mokhtar kembali sembuh hampa kerana penyakitnya kian parah.
Pada hari Khamis, 11 Julai 1991, pada ketika usia saya baru ingin mengenali bolasepak. Mokhtar Dahari meninggal dunia pada jam 8.25 pagi di Pusat Perubatan Subang Jaya. Perginya lagenda bola sepak ini tidak pernah ada galang ganti. Walau sudah hampir 2 dekad berlalu, nama Mokhtar Dahari masih meniti di bibir peminat setia bola sepak negara. Jasa dan bakti beliau mencurah keringat tanpa mengharapkan kemewahan seperti bintang-bintang bolasepak zaman sekarang telah menaikkan nama negara. Sukar dibayar dengan kata-kata tetapi cukuplah sepotong doa buat Mokhtar Dahari (1953-1991). Al-fatihah. Bagaikan kata pepatah, Harimau mati meninggalkan belang... dan berikut adalah "belang" yang di tinggalakan Allahyarham sepanjang penglibatannya dalam dunia bolasepak.


ANUGERAH
1976 : Olahragawan Kebangsaan

1977 : Ahli Mangku Negara (A.M.N)

2000 : Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P), Pahang yang membawa gelaran Dato'

2001 : Darjah Dato' Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A), Selangor yang membawa gelaran Dato'

RENTETAN SEJARAH BOLA SEPAK MOKHTAR

1970: Mewakili Selangor ke pertandingan bawah 18 tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Turut bermain adalah Santokh Singh dan Reduan Abdullah

1971: Pada bulan Disember, bermain untuk Selangor dalam pertandingan Piala Burnley di Kuching. Menjaringkan gol dalam perlawanan sulung menentang Kedah.

1972: Februari : Beraksi pertama kali untuk pasukan senior Selangor dalam perlawanan persahabatan menentang kelab Hitachi dari Jepun pada bulan Februari

1972: April : Menyertai perlawanan akhir Piala Malaysia pertama dalam kariernya menentang Perak di posisi sayap kiri . Menjaringkan gol pada minit ke 29 hasil umpanan Rahim Abdullah untuk membantu Selangor menang 3-0. Mewakili Malaysia buat pertama kali dalam Piala Jakartaraya (Piala Kemerdekaan Jakarta) pada bulan Jun.

1973: Bermain bersama skuad Malaysia di pra Piala Dunia di Seoul. Bermain dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka menentang Kuwait. Menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-1. Membantu Selangor mengekalkan Piala Malaysia dengan menewaskan Terengganu 2-1 dalam perlawanan akhir.

1974: Mencipta rekod peribadi untuk gol terbanyak dalam satu perlawanan antarabangsa apabila menjaringkan lima gol ketika menentang Filipina di Sukan Asia di Teheran, Iran sekaligus membantu negara memenangi pingat gangsa.

1975: Membantu Selangor menjulang Piala Malaysia menewaskan Singapura 1-0. Menjaringkan dua gol ketika skuad negara menewaskan Arsenal 2-0 dalam perlawanan persahabatan.

1976: Menjaringkan dua gol untuk membantu Selangor mengalahkan Singapura 3-0 dan sekali gus muncul sebagai juara Piala Malaysia bagi kali ke-19. Mendapat caps Malaysia ketika menentang Jepun di Pestabola Merdeka bulan Ogos. Mendapat kecederaan lutut ketika mewakili PKNS menentang Pemuda UMNO peringkat suku akhir Piala FAM sekaligus terpaksa menjalani pembedahan lutut di Hospital Universiti.

1977: Kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan lutut dan mewakili PKNS menentang Kilat dalam Liga Perdana Selangor. Membantu Selangor mara ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia. Menjaringkan 1 gol ketika menewaskan Thailand 2-0 pada perlawanan akhir untuk pingat emas Sukan Sea pertama beliau. Menerima Anugerah Olahragawan Kebangsaan 1976.

1978: Menjaringkan gol penyamaan ketika perlawanan persahabatan Malaysia menentang England 'B' yang berkesudahan seri 1-1 . Memenangi Piala FAM pertamanya bersama PKNS. Turut membantu Selangor bangkit dari ketinggalan 2-0 kepada Singapura untuk menang 4-2 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.

Namanya amat digeruni, skil dan aksi di padang amat ditakuti biarpun lawan masih di bilik persalinan, rembatannya bagaikan igauan setiap penjaga gol lawan malah pasukan sendiri, ketiadaannya dalam arena bolasepak kebangsaan bagaikan meniup lilin yang menerangi bilik yang gelap. Pemergiannya merupakan satu kehilangan yang amat sukar dicari ganti. Persoalannya kini, setelah hampir 20 tahun pemergian beliau, adakah ianya sekadar sesuatu yang hanya ingin kita sama-sama kenangkan dan kagumkan atau perlukah kita mula untuk memikirkan cara untuk menghidupkan kembali aura yang pernah ditinggalkan Allahyarham? Untuk kali ke berapa kita perlu menyokong negara lain di pentas Piala Dunia? Jangan katakan Piala Dunia, Piala Asia pun sama. Semoga fakta yang saya paparkan kali ini bukan sahaja untuk kita kenangkan bersama tetapi diharapkan agar cas-cas neuron di otak kita dapat memberi ilham untuk kita canangkan idea-idea untuk meningkatkan maruah bolasepak negara kita. Siapa tahu mungkin salah satu daripada idea kita bakal mendendangan lagu Negaraku di pentas Piala Dunia suatu hari nanti. Mustahil? Fikir sekali lagi.

rujukan : wikipedia

No comments:

Post a Comment